Wednesday, September 10, 2008

11 September 2008

Ahmad Ismail digantung keahlian Umno 3 tahun

BERTENANG... Aksi Ahmad Ismail ketika mengadakan sidang media selepas Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan mengenai kenyataannya pada mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star oleh RAJA FAIZAL HISHAN

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail digantung keahlian dalam parti selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat hari ini berpendapat kenyataan dan tindakan Ahmad yang menimbulkan keresahan dan bantahan daripada partiparti komponen Barisan Nasional (BN) adalah serius.

Hukuman itu adalah mengikut Perkara 20.9 perlembagaan parti, kata Abdullah, yang juga Presiden Umno, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat selama dua jam itu di sini hari ini.

Pada satu ceramah 23 Ogos lepas dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut bahawa masyarakat Cina adalah pendatang di negara ini dan tidak layak menuntut hak yang sama.

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi Ahmad enggan berbuat demikian.

"Apa-apa jawatan yang dia (Ahmad Ismail) pegang sekarang ini yang bersabit dengan parti atau memihak kepada rakyat ataupun yang mewakili parti akan digugurkan," kata Abdullah, yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya jika ketua bahagian Bukit Bendera itu boleh merayu atas hukuman yang dikenakan, beliau berkata: "Biasanya semua ada hak merayu."

Kepada soalan lain jika tindakan akan dikenakan ke atas akhbar yang melapor kenyataan Ahmad, beliau berkata keputusan itu akan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Hal-hal yang berkaitan dengan akhbar, halhal yang berkaitan dengan tindakan orang yang di luar dari parti kita sebagaimana yang saya katakan tadi, ini tentulah sekali akan dibuat keputusan oleh jabatan-jabatan kerajaan atau kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan jabatanjabatan lain," katanya.

Perdana Menteri berkata, parti-parti politik tidak boleh mengambil tindakan dan jika partiparti politik menyedari sesuatu perkara yang berlaku itu berpotensi menimbulkan keadaan yang tidak baik dalam negara, maka tidak ada kesalahan bagi partiparti yang berkenaan untuk membuat laporan polis.

Begitu juga tidak ada kesalahan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang merasakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku untuk membuat laporan kepada polis dan menyatakan sesuatu yang perlu diambil tindakan undang-undang yang dipakai pada waktu itu, katanya.

Sementara itu, MT Umno juga berpendapat semua parti komponen BN perlu bertindak tegas dan mengenakan hukuman disiplin terhadap mana-mana anggota parti yang bertindak atau membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan serta menjejaskan hubungan antara parti dalam BN.

Abdullah berkata, jemaah menteri dalam mesyuaratnya pagi tadi, telah berbincang mengenai situasi berkaitan hubungan kaum di negara ini dan berpendapat bahawa situasi hubungan dalam negara ini telah menunjukkan tanda-tanda yang kurang baik dan mungkin menyebabkan ketegangan pada hubungan kaum.

"Seterusnya apabila banyak perkara yang ditimbulkan, yang dicakap mengenai perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum-kaum dalam negara ini...isu-isu yang tidak biasa ditimbulkan telah ditimbulkan dan menjadi isu. Perkara yang tak sepatutnya dibincang juga nak dibincang jadi ini menimbulkan pelbagai reaksi," kata Abdullah.

Selama ini, kata beliau, kerajaan dapat mengawal keadaan supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini namun situasi seperti itu tidak boleh dibiarkan berterusan memandangkan ia dapat menegangkan keadaan dan merosakkan ketenteraman awam.

"Ini adalah satu keadaan yang kita harap tidak akan berlaku dalam negara kita," katanya.

Terdahulu, sekumpulan 10 lelaki berkumpul di hadapan pintu masuk utama ke Menara
Datuk Onn hari ini dengan membawa kain rentang yang menunjukkan mesej menyokong Ahmad.

Mereka yang mengaku tidak mewakili Umno atau mana-mana Badan Bukan Kerajaan berkata mereka terpanggil untuk berbuat demikian sebagai menunjukkan sokongan kepada Ahmad yang menghadapi tindakan disiplin oleh Umno kerana dikatakan mengucapkan kata-kata perkauman ketika kempen pilihan raya kecil Kepala Batas baru-baru ini.

Antara ungkapan yang terdapat pada kain-kain rentang yang mereka bawa ialah "Theresa Kok Celupar, Biadap, Kurang Ajar. Umno Jangan Takut, MT Pertahankan Perjuangan Datuk Ahmad Ismail, Kami Sokong Datuk Ahmad Ismail dan MT Pertahan Maruah Datuk Ahmad Ismail.

Mereka berada di hadapan Menara Datuk Onn itu selama hampir 10 minit sebelum bersurai sebaik Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sampai untuk mempengerusikan mesyuarat khas MT pada kira-kira jam 2.45 petang

No comments: