Monday, September 15, 2008

Zaid Ibrahim letak jawatan

15-09-2008 02:58:17 PM

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan perletakan jawatannya.

Perkara tersebut disahkan oleh pegawai khas beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

"Ya, perkara itu betul (letak jawatan). Surat perletakan jawatan juga telah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini," katanya.

Semalam beliau memberikan pandangan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.

Kata beliau, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Tambah Zaid, beliau sedia untuk meletak jawatan kerana memberikan pandangan yang dilihat bertentangan dengan 'dasar kerajaan' itu.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan (kerana memberikan pandangan ini), saya akan berbuat demikian," katanya.

Menteri yang bertanggungjawab berkaitan soal perundangan dan kehakiman itu berkata beliau bukan sebagai pencetus masalah kepada Perdana Menteri, sebaliknya hanya mempertahankan prinsip dan sentiasa memberikan pendirian kritikal dalam soal penggunaan ISA

Thursday, September 11, 2008

Abdullah terkejut Muhyiddin pertikai pelan peralihan kuasa

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan tempoh peralihan kuasa dengan mendakwa dua tahun adalah terlalu panjang.

Abdullah berkata beliau pelik bagaimana seorang anggota Kabinet yang juga anggota majlis tertinggi Umno boleh berbuat demikian sedangkan perkara itu telahpun dipersetujui oleh Kabinet dan MT sebelum ini.

"Saya terkejut apabila seorang anggota Kabinet saya boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu. Dia kini mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan sesuatu yang telah pun dipersetujui Kabinet. Begitu juga keputusan itu juga telah dipersetujui MT," kata Abdullah kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia di sini.

Semalam, Muhyiddin (gambar) yang juga naib Presiden Umno berkata Abdullah patut fikirkan semula mengenai pelan peralihan kuasanya untuk mengundurkan diri menjelang 2010 kerana tempoh masa itu terlalu lama.

Muhyiddin meminta Abdullah agar mengkaji semula pelan peralihan kuasa yang dipersetujuinya dengan timbalan beliau Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana tempoh yang ditetapkan itu terlalu panjang.

Abdullah, dua bulan lalu, mengumumkan rancangan untuk menyerahkan jawatan pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Ini bermakna beliau akan tetap mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Umno akhir tahun ini.

Abdullah yang jelas kurang senang dengan bentuk soalan mengenai isu itu berkata beliau bukan mahu terus memegang kuasa kerana "suka-suka".

"Saya bukan mahu kekal kerana suka-suka. Saya ingin beritahu anda bahawa masih banyak lagi tanggungjawab dan kerja yang perlu saya selesaikan. Banyak lagi program yang saya telah janji kepada rakyat yang hendak saya siapkan.

"Saya mesti pastikan reform kepada badan kehakiman, polis dan Badan Pencegah Rasuah berjalan lancar. Saya juga sudah berjanji akan hapuskan kemiskinan tegar dan saya mahu pastikan itu berjaya saya capai," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meminta Muhyiddin untuk menjelaskan kenyataan yang dibuatnya di Singapura itu, Abdullah berkata: "Tidak perlulah tanya saya apa yang akan saya lakukan."

Diminta mengulas cakap-cakap bahawa terdapat wakil rakyat Barisan Nasional di Negeri Sembila yang akan melompat parti, Abdullah menegur pemberita yang mengajukan soalan itu sambil berkata:

"Anda mahu saya beri komen terhadap khabar angin? Cukuplah. Anda semua mudah percaya khabar angin, kemudian cuba pula mengukuhkan lagi khabar angin itu dengan meminta orang lain memberikan ulasan mengenainya."

Pas untung Dr Mahathir masuk semula Umno: Nik Aziz

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno akan memberi kelebihan kepada Pas dan Pakatan Rakyat kerana “Umno akan bergolak”.

“Saya seronok dia (Dr Mahathir) timbul kacau bilau,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas bahawa bekas perdana menteri itu telah menyuarakan hasrat untuk memohon menyertai semula Umno setelah meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas kerana kecewa dengan kepimpinan sekarang.

Sambil menyatakan rasa gembiranya kerana Umno akan bergolak, Nik Abdul Aziz berkata tindakan Dr Mahathir untuk menyerang Umno dari dalam merupakan “langkah yang terbaik”.

“Dari segi untuk melemahkan Umno, memang saya seronok kerana Umno musuh saya. Tetapi Tun Mahathir serang Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan keluar parti pada masa dulu, yang itu saya tidak faham.

“Tinggal di luar dan serang Umno itu saya tidak nampak logik. Bila masuk di dalam serang dari dalam, itu betul. Ertinya dia (Tun Mahathir) masuk ni betul untuk serang secara berdepan,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan Umno menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, kerana membuat kenyataan menyentuh sensitiviti kaum, Nik Abdul Aziz berkata keputusan itu tidak wajar dilakukan oleh Umno sebaliknya ianya perlu diputuskan oleh kerajaan.

“Sepatutnya bukan parti bertindak tetapi kerajaan perlu bertindak. Kalau orang lain sudah kena Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Nampak macam pilih kasih,” katanya. -

Wednesday, September 10, 2008

11 September 2008

Ahmad Ismail digantung keahlian Umno 3 tahun

BERTENANG... Aksi Ahmad Ismail ketika mengadakan sidang media selepas Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan mengenai kenyataannya pada mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star oleh RAJA FAIZAL HISHAN

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail digantung keahlian dalam parti selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat hari ini berpendapat kenyataan dan tindakan Ahmad yang menimbulkan keresahan dan bantahan daripada partiparti komponen Barisan Nasional (BN) adalah serius.

Hukuman itu adalah mengikut Perkara 20.9 perlembagaan parti, kata Abdullah, yang juga Presiden Umno, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat selama dua jam itu di sini hari ini.

Pada satu ceramah 23 Ogos lepas dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut bahawa masyarakat Cina adalah pendatang di negara ini dan tidak layak menuntut hak yang sama.

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi Ahmad enggan berbuat demikian.

"Apa-apa jawatan yang dia (Ahmad Ismail) pegang sekarang ini yang bersabit dengan parti atau memihak kepada rakyat ataupun yang mewakili parti akan digugurkan," kata Abdullah, yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya jika ketua bahagian Bukit Bendera itu boleh merayu atas hukuman yang dikenakan, beliau berkata: "Biasanya semua ada hak merayu."

Kepada soalan lain jika tindakan akan dikenakan ke atas akhbar yang melapor kenyataan Ahmad, beliau berkata keputusan itu akan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Hal-hal yang berkaitan dengan akhbar, halhal yang berkaitan dengan tindakan orang yang di luar dari parti kita sebagaimana yang saya katakan tadi, ini tentulah sekali akan dibuat keputusan oleh jabatan-jabatan kerajaan atau kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan jabatanjabatan lain," katanya.

Perdana Menteri berkata, parti-parti politik tidak boleh mengambil tindakan dan jika partiparti politik menyedari sesuatu perkara yang berlaku itu berpotensi menimbulkan keadaan yang tidak baik dalam negara, maka tidak ada kesalahan bagi partiparti yang berkenaan untuk membuat laporan polis.

Begitu juga tidak ada kesalahan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang merasakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku untuk membuat laporan kepada polis dan menyatakan sesuatu yang perlu diambil tindakan undang-undang yang dipakai pada waktu itu, katanya.

Sementara itu, MT Umno juga berpendapat semua parti komponen BN perlu bertindak tegas dan mengenakan hukuman disiplin terhadap mana-mana anggota parti yang bertindak atau membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan serta menjejaskan hubungan antara parti dalam BN.

Abdullah berkata, jemaah menteri dalam mesyuaratnya pagi tadi, telah berbincang mengenai situasi berkaitan hubungan kaum di negara ini dan berpendapat bahawa situasi hubungan dalam negara ini telah menunjukkan tanda-tanda yang kurang baik dan mungkin menyebabkan ketegangan pada hubungan kaum.

"Seterusnya apabila banyak perkara yang ditimbulkan, yang dicakap mengenai perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum-kaum dalam negara ini...isu-isu yang tidak biasa ditimbulkan telah ditimbulkan dan menjadi isu. Perkara yang tak sepatutnya dibincang juga nak dibincang jadi ini menimbulkan pelbagai reaksi," kata Abdullah.

Selama ini, kata beliau, kerajaan dapat mengawal keadaan supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini namun situasi seperti itu tidak boleh dibiarkan berterusan memandangkan ia dapat menegangkan keadaan dan merosakkan ketenteraman awam.

"Ini adalah satu keadaan yang kita harap tidak akan berlaku dalam negara kita," katanya.

Terdahulu, sekumpulan 10 lelaki berkumpul di hadapan pintu masuk utama ke Menara
Datuk Onn hari ini dengan membawa kain rentang yang menunjukkan mesej menyokong Ahmad.

Mereka yang mengaku tidak mewakili Umno atau mana-mana Badan Bukan Kerajaan berkata mereka terpanggil untuk berbuat demikian sebagai menunjukkan sokongan kepada Ahmad yang menghadapi tindakan disiplin oleh Umno kerana dikatakan mengucapkan kata-kata perkauman ketika kempen pilihan raya kecil Kepala Batas baru-baru ini.

Antara ungkapan yang terdapat pada kain-kain rentang yang mereka bawa ialah "Theresa Kok Celupar, Biadap, Kurang Ajar. Umno Jangan Takut, MT Pertahankan Perjuangan Datuk Ahmad Ismail, Kami Sokong Datuk Ahmad Ismail dan MT Pertahan Maruah Datuk Ahmad Ismail.

Mereka berada di hadapan Menara Datuk Onn itu selama hampir 10 minit sebelum bersurai sebaik Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sampai untuk mempengerusikan mesyuarat khas MT pada kira-kira jam 2.45 petang
10 September 2008

Mahathir sedia kembali sertai UMNO
Oleh AMRAN MULUPKUALA LUMPUR 9 Sept. - Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersedia untuk menyertai semula UMNO selepas mengambil keputusan keluar daripada parti itu Mei lalu.Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, Dr. Mahathir menyuarakan hasrat tersebut selepas beliau mengadakan pertemuan atas jemputan bekas Perdana Menteri itu, Sabtu lalu."Pada pertemuan itu, saya telah minta beliau memikirkan semula dan menimbang untuk kembali menjadi ahli UMNO."Saya amat gembira apabila Dr. Mahathir bersetuju menyerahkan semula borang keahlian UMNO, tetapi beliau tidak pasti sama ada Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan menerima permohonannya," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perkhidmatan Malaysia (MSDC) di sini hari ini.
MT Umno putuskan nasib Ahmad hari ini
Wed Sep 10, 08 7:49:21 am
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan tindakan yang akan diambil terhadap ketua Umno Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail kerana membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap orang Cina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusinya mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam.
Malaysiakini melaporkan Abdullah berkata, semua ketua parti komponen BN yang hadir, tanpa berkecuali seorang pun, telah melahirkan perasaan tidak dapat menerima sama sekali terhadap kenyataan Ahmad itu.
Sehubungan itu, katanya, mereka mahu satu tindakan yang tegas diambil.
Bagaimanapun, kata perdana menteri, BN tidak boleh mengambil tindakan ke atas Ahmad kerana beliau merupakan ahli Umno.
"Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini melahirkan perasaan yang tegas, kecewa dan marah tentang apa yang berlaku," kata Abdullah.
Mesyuarat semalam turut dihadiri semua ketua parti komponen BN serta naib-naib presiden Umno dan ketua pergerakan wanita BN.
"Apa yang dicakapkan itu menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat, bukan hanya kepada bukan bumiputera tetapi juga bumiputera, iaitu orang Melayu.
"Bukan hanya di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak. "Apa yang telah dicakapkan oleh pemimpin dari Sabah dan Sarawak telah membayangkan perasaan yang terdapat di kedua negeri berkenaan," kata perdana menteri.
Mereka, tambah beliau, mahu supaya satu tindakan segera dan tegas diambil.
"Tetapi Ahmad sebagai ahli Umno, perlu melalui prosedur parti Umno dan dibawa kepada MT Umno," tambahnya.
Maka dengan itu, katanya, pemimpin BN telah mengakui prosedur tersebut dan menggesa supaya tindakan diambil dalam MT Umno secepat mungkin.
Ketika ditanya mengenai pertemuan antara Abdullah dengan Ahmad di Putrajaya tengahari tadi, Perdana Menteri enggan menjelaskannya.
"Selain saya, Dato' Najib (Tun Razak) dan Dato' Ali Rustam (naib presiden Umno) hadir dalam pertemuan tersebut.
"Bagaimanapun, tidak perlulah saya memberitahunya kerana orang sudah tengok televisyen dan You Tube," katanya.
Abdullah berkata, BN akan mengeluarkan kod etika bagi membolehkan tindakan serta merta diambil terhadap mana-mana parti yang mengeluarkan kenyataan dan berkelakuan yang tidak melambangkan semangat BN.
"Isu berkaitan dengan Akta Hasutan yang ada hubung kait dengan perlembagaan yang boleh dikatakan atau yang tidak boleh dikatakan termasuk dalam kod etika itu," katanya.
Perdana menteri juga menegaskan BN mesti secara bersama menghadapi apa juga rintangan dan cabaran.
Sementara itu, pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, ketika ditemui, berkata beliau akan menunggu keputusan mesyuarat MT dan menilainya.
"Kita setuju supaya tindakan tegas diambil terhadap Ahmad," katanya.
Ketika ditanya Ahmad terus mengkritik Gerakan, Koh berkata, beliau tidak peduli kerana BN telah mengadakan mesyuaratnya. - mks.
Kes Anwar ditangguh 24 September
Wed Sep 10, 08 11:10:41 am
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes liwat terhadap Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim kepada 24 September depan ekoran bantahan terhadap perintah yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Apabila kes itu disebut pada jam 9.58 pagi tadi di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah, pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, para peguam Anwar mempertikaikan perintah tersebut kerana ia ditandatangani oleh Abdul Gani, yang menurut mereka, tidak sepatutnya terbabit dalam kes tersebut kerana beliau adalah pihaknya disebut dalam aduan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung dakwaan mereka bukti terhadapnya pada 1988.
Mereka berhujah bahawa sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.
Anwar telah membuat laporan polis terhadap Abdul Gani dan Musa yang didakwanya telah mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya 10 tahun yang lalu.
Hakim Komathy kemudian menetapkan 24 September untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujah terhadap kesahihan perintah pemindahan kes yang ditandatangani oleh Abdul Gani itu.
Sebelum itu, Anwar tiba di Mahkmah tersebut jam 9.30 untuk sebutan tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.
Anwar tiba dengan diiringi oleh peguamnya Sankara Nair; isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR serta dua orang anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Hanna.
Sebaik sahaja tiba, Anwar diserbu oleh para wartawan dan jurugambar yang berada di situ untuk membuat liputan kesnya pagi ini.
Bagaimanapun, mantan timbalan perdana menteri itu tidak bercakap kepada pemberita.
Kira-kira 100 penyokong penyokongnya turut hadir. Anwar masuk ke bangunan mahkamah pada kira-kira jam 9.35 pagi.
Beliau dihadapkan di mahkamah yang sama pada 7 Ogos lalu atas tuduhan tersebut dan Hakim SM Komathy membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.
Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada hari ini.
Menurut kertas pertuduhan terhadapnya, Anwar didakwa melakukan tuduhan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.
Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, pihak polis telah meningkatkan kawalan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di situ.
Para wartawan pula diminta mendaftar di tiga tempat sebelum dibenarkan masuk ke dewan mahkamah untuk mengikuti kes Anwar itu. - mks._