Tuesday, November 25, 2008

Dr. Mahathir: Jangan jadikan fatwa yoga sebagai isu agama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa pihak tertentu supaya tidak menjadikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang umat Islam daripada mengamalkan yoga sebagai isu agama.

"Jika mereka (Majlis Fatwa Kebangsaan) percaya ianya salah, jadi ianya salah. Malanglah jika orang lain fikir keputusan itu mencela agama mereka.

"Ia sama lah seperti kita kata orang Islam tidak boleh makan babi, ia bukan menghina orang Cina. Dan ia adalah sama bila orang Islam tidak boleh melakukan yoga. Ia bukan kerana mereka menghina orang Hindu.

"Mereka tidak patut buat begitu. Sama ada orang Melayu ikut atau tidak, itu hal mereka, orang lain tidak boleh jadikannya sebagai isu agama. Seperti perkara lain yang dilarang di dalam Islam, ia bukan menghina orang lain. Tetapi ada orang yang mahu menjadikannya sebagai isu. Saya kesal.

"Saya sendiri tidak peduli jika anda berdiri di atas kepala atau berdiri di atas kaki anda. Ia bukanlah sematamata jika anda mengamalkan yoga, anda tiba-tiba menjadi orang bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Antarabangsa Pertama 2008 mengenai Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa di sini hari ini.

Minggu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan melarang umat Islam mengamalkan yoga kerana ia bertentangan dengan agama.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau tetap dengan pendirian untuk mendedahkan nama-nama pemimpin Umno yang terbabit dalam politik wang menjelang perhimpunan parti Mac tahun depan.

"Saya perlu memastikan sebelum meletakkannya (nama-nama pemimpin) dalam senarai itu. Jika saya ada bukti dan Umno tidak mengambil sebarang tindakan saya akan letakkan (nama-nama itu) dalam senarai.

"Saya memberi tempoh dua minggu kepada Jawatankuasa Disiplin (Umno) dan berharap mereka akan mengambil tindakan dalam tempoh itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa politik wang juga berlaku semasa Dr Mahathir menjadi Presiden Umno, Dr Mahathir berkata:

"Rasuah berlaku dalam zaman saya dan saya sentiasa mengaku mengenai perkara itu tetapi bukan dalam skala yang anda lihat sekarang."

Sementara itu, dalam ucaptamanya Dr Mahathir berkata kebimbangan sesetengah pihak berhubung pembelajaran dan penggunaan Bahasa Inggeris boleh menghakis Bahasa Malaysia adalah tidak berasas.

Dr Mahathir berkata beliau dikritik oleh nasionalis kerana mahukan kerajaan meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik tetapi bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa di mana rakyat Malaysia boleh menimba ilmu dalam keduadua subjek itu.

"Sebelum saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri saya perkenal sistem itu kerana saya berasa ia adalah perlu bagi kita untuk menimba ilmu pengetahuan. Jika anda ingin terjemah semua kerja Sains dan Matematik ke dalam bahasa Malaysia, ia akan mengambil masa yang panjang dan kita akan ketinggalan. Tetapi sejak kebelakangan ini, ada perdebatan mengenainya bahawa kita perlu kembali kepada sistem lama menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengajar dan belajar Sains dan Matematik.

"Kementerian Pelajaran akan memutuskan perkara itu tidak lama lagi. Ada kebaikan dan keburukan mengenainya dan saya agak bimbang mengenainya. Orang kita patut tahu bagaimana untuk membaca, menulis dan bercakap bahasa Kebangsaan tetapi pada masa yang sama untuk menimba ilmu pengetahuan mereka patut menggunakan bahasa Inggeris," katanya.

Katanya jumlah ilmu pengetahuan baru adalah "pantas dan hebat" dan rakyat Malaysia perlu merebut ilmu pengetahuan yang kebanyakannya di dalam bahasa Inggeris.

"Saya harap dapat menghalang kerajaan daripada berpatah balik menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengajar Matematik dan Sains tetapi saya tidak lagi memegang kuasa. Saya terpaksa menerima apa juga yang diputuskan walaupun ia mungkin tidak baik untuk negara ini," katanya.

Katanya kekurangan guru untuk mengajar keduadua subjek itu di dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dijadikan alasan kerana ia boleh digantikan dengan perisian komputer. BERNAMA

Tingkatkan dialog agama

Peristiwa yang berlaku berkaitan dengan isu perkauman yang wujud di dalam negara ini masa kini perlu ditangani secara hikmah dan bijaksana. Undang undang dan hukuman bukan merupakan satu cara yang baik untuk mengatasi permasalahan berhubung kait dengan kesilapan dan kejahilan mengenai isu-isu agama.

Ketua-ketua agama dalam negara ini perlu memainkan peranan penting bagi meredakan krisis perkauman dan keagamaan yang dihadapi masa kini. Institusi keagamaan perlu dijadikan sebagai pusat untuk ketua-ketua agama lain berdialog dan berbincang.

Ulama dan mufti perlu mempunyai sikap keterbukaan dalam mengendalikan urusan salah faham atau campur tangan masyarakat lain berkaitan dengan perundangan peribadi umat Islam. Penjelasan secara terperinci berkaitan dengan hal ehwal perundangan peribadi umat Islam perlu dijelaskan secara terbuka supaya masyarakat bukan Islam dapat memahami batas-batas kritikan.

Peranan ulama bukan hanya sekadar untuk menentukan hukum hakam berkaitan dengan urusan keagamaan umat Islam malah mereka juga perlu memainkan peranan penting untuk menghentikan dakyah dan propaganda yang boleh menghancurkan umat Islam secara hikmah dan bukan dalam tindakan yang keras.

Tindakan demikian walaupun merupakan satu cara untuk mengatasi dakwah tetapi ia boleh menyebabkan pelbagai risiko yang boleh menjatuhkan imej agama Islam.

Sebagai sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama maka hubungan di antara ulama Islam dan ketua-ketua agama lain amat diperlukan supaya golongan tertentu tidak dapat melakukan pelbagai agenda untuk menghancurkan perpaduan kaum dengan menggunakan isu-isu keagamaan.

Di negara-negara Barat, gereja dan persatuan-persatuan Islam serta pelbagai agama bergabung untuk membahaskan isu-isu berkaitan dengan keagamaan. Melalui dialog dan kerjasama daripada gereja maka umat Islam dapat melaksanakan undang-undang peribadi mereka secara mudah, malah masyarakat bukan Islam yang sering menghadiri dialog juga mempunyai hubungan yang baik serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam.

Apabila ulama dan mufti menunjukkan sikap keterbukaan dalam mengendalikan urusan keagamaan maka mudah bagi masyarakat bukan Islam berinteraksi dengan institusi keagamaan apabila mereka kurang puas hati terhadap sesuatu isu.

Sikap lunak dan cuba memahami ajaran Islam tersemat dalam sanubari mereka. Tindakan yang keras bukan sahaja boleh menggerunkan manusia malah ia juga boleh menimbulkan reaksi yang agresif daripada pihak yang lain.

Jika ulama dan mufti memainkan peranan penting dalam kegiatan dialog maka persatuan-persatuan bukan kerajaan yang kurang senang hati terhadap kejayaan umat Islam tidak mempunyai ruang untuk memperluaskan propaganda mereka dalam negara dan di luar negara. Krisis perkauman yang dikaitkan dengan keagamaan bukan dianjurkan oleh ketua-ketua agama lain dalam negara ini malah ia merupakan agenda golongan radikal daripada pelbagai bangsa dan kaum dengan tujuan tertentu.

Oleh itu ulama dan mufti perlu memainkan peranan penting untuk menjemput ketua-ketua agama bukan Islam di negara ini berbincang dan berdialog secara lunak dan baik.

Melalui perbincangan ini perasaan persefahaman dan kecintaan terhadap negara dan kedamaian dapat dipertingkatkan kerana setiap orang beragama mencintai keamanan. Sikap terlalu keras dan gemarkan menghukum bukan merupakan cara yang baik untuk menyelesaikan permasalahan.

Ketua-ketua agama di negara ini perlu berganding bahu mendidik dan mengajar penganut mereka supaya menghormati dan memahami sensitiviti keagamaan oleh setiap masyarakat dalam negara ini.

Apabila ulama dan mufti menunjukkan sikap berminat untuk menghubungkan persahabatan dengan ketua-ketua agama lain maka isu-isu untuk memburukkan imej ulama dengan istilah-istilah yang tidak baik dapat dielakkan kerana propaganda yang disebarkan oleh golongan yang kurang senang dengan kejayaan sistem perundangan Islam dalam negara ini akan terbantut.

Kekuatan Islam bukan bergantung kepada undang-undang dan hukuman yang keras tetapi ia lebih menjurus kepada perundingan dan dialog di antara ketua-ketua agama supaya setiap umat menghormati dan bekerjasama membentuk keamanan dan kedamaian. Kekuatan dalam bentuk hukuman hanyalah satu kekuatan yang sementara.

Amir Temur, salah seorang pemimpin dunia teragung beragama Islam dalam abad ke-14 ada berkata: "Sembilan daripada sepuluh berkaitan dengan urusan kenegaraan saya mengatasinya dengan pertolongan majlis, kajian dan perbincangan dan hanya satu daripada sepuluh sahaja dengan pertolongan pedang (kuasa)."

Permasalahan berkaitan dengan sensitiviti keagamaan hanya dapat diatasi secara dialog dan perbincangan dengan ketua-ketua agama kerana mereka mempunyai pengaruh dan kuasa untuk menentukan sesuatu perkara berkaitan dengan keagamaan. Mereka diberi kepercayaan oleh masyarakat mereka berkaitan dengan hal ehwal keagamaan.

Perbincangan atau dialog dengan ketua-ketua agama perlu dipergiatkan lagi oleh kesemua ketua-ketua agama dalam negara ini supaya peristiwa sakit menyakiti di antara satu sama lain dapat diatasi seberapa segera. Tindakan secara keras bukan merupakan satu cara yang bijak untuk memupuk semangat perpaduan dan rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

Penjelasan dan penerangan berkaitan dengan kepelbagaian tradisi dan corak hidup masyarakat beragama perlu diperkenalkan di sekolah-sekolah supaya kanak-kanak dapat memahami perbezaan corak hidup di antara satu sama lain. Ketua-ketua agama perlu berganding bahu memperjelaskan kepada masyarakat mengenai batas-batas kritikan berkaitan dengan undang-undang peribadi setiap masyarakat beragama.

Apabila kegiatan dialog diperluaskan di peringkat mufti, ulama dan imam-imam bersama dengan ketua agama lain maka setiap ahli masyarakat di negara ini dapat memahami dan menghormati antara satu sama lain. Oleh itu kegiatan golongan tertentu yang kurang senang hati terhadap corak hidup umat Islam dan perundangan Islam dapat dibanteras secara halus dan lembut.

Oleh saodah abd. rahman